70 lelaki tak sempat ‘bertempur’

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, sepasukan anggota dari Perlesenan Agensi Kerajaan Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Cawangan Persenjataan dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah membuat pemeriksaan di lokasi di terbabit.

Sekumpulan 70 lelaki yang lengkap bersenjata gel blaster tidak sempat ‘berperang’ apabila tapak tempur yang terletak di sebuah kampung di Penampang dekat sini, diserbu polis dalam Ops Khas kelmarin.

Harian Metro melaporkan, dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, semua lelaki terbabit dipercayai sedang berkumpul untuk memulakan aktiviti sukan ekstrem gelsoft.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, sepasukan anggota dari Perlesenan Agensi Kerajaan Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Cawangan Persenjataan dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah membuat pemeriksaan di lokasi di terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati sekumpulan lelaki lengkap dengan senjata gel blaster berkumpul di kawasan tapak tempur dipercayai bersiap untuk memulakan aktiviti sukan ekstrem itu.

“Seorang lelaki disyaki penganjur dan 69 pemain berusia 21 hingga 36 tahun ditahan untuk siasatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan di sini, hari Ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Zaini berkata, pihaknya turut merampas 62 raifal gel blaster, sub mesingan (enam), M4 (dua) dan 128 kelopak peluru membabitkan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM21,000.

“Siasatan mendapati mereka adalah pemain bernaung di bawah sebuah persatuan gel blaster di Sabah yang berdaftar namun pemilikan senjata itu menyalahi undang-undang.

“Semua senjata itu dibeli secara dalam talian dan mereka mengaku tidak mengetahui pemilikan senjata gel blaster satu kesalahan,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Menurutnya, semua yang ditahan dibebaskan pada hari yang sama selepas proses dokumentasi dijalankan dan sehingga kini siasatan sedang dilengkapkan dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian.