Jasa enam pegawai kedutaan semasa evakuasi di Wuhan satu tugas mulia – Saifuddin

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keenam-enam mereka akan diberikan cuti bertugas selama beberapa tempoh selepas mereka tamat prosedur kuarantin di hospital.

Kementerian Luar Negeri menyifatkan jasa enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing yang bertugas semasa proses evakuasi rakyat Malaysia di Wuhan, baru-baru ini sebagai pengorbanan besar dan satu tugas mulia.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keenam-enam mereka akan diberikan cuti bertugas selama beberapa tempoh selepas mereka tamat prosedur kuarantin di hospital.

“Mereka sudah ada di Malaysia dan masih dalam kuarantin selama 14 hari. Difahamkan, setakat laporan yang saya terima ke enam-enamnya sihat walafiat. Jika tiada aral melintang mereka akan keluar wad dalam masa beberapa hari lagi. Selebihnya kita tunggu pengumuman daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selepas keluar wad kita bagi mereka cuti. Kemudian urusan usuran lain akan umum semasa ke semasa. Jasa mereka sangat besar. Mereka (pegawai Kedutaan Besar) bertolak melalui jalan darat ke Wuhan yang mengambil masa selama 17 jam perjalanan. Selepas selamat sampai mereka uruskan evakuasi rakyat Malaysia.

“Bagi saya ini pengorbanan besar. Semua orang keluar dari Wuhan mereka pula masuk. Itu satu kerja mulia,” katanya pada sidang media Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Program Jom Ke Sekolah Peringkat Negeri Pahang.

Program tersebut diadakan di Sekolah Menengah Kebngsaan Sultanah Hajjah Kalsom di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superentendan Muhammed Rizal Kamarudin; Guru Besar sekolah, Mazalina Mohamad dan Yang Dipertua PIBG, Mohd Zulkefli Ismail.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, semua petugas Kedutaan Malaysia di Beijing dan pegawai general konsulat Malaysia masih bekerja seperti biasa manakala keluarga dan tanggungan mereka, telah dibawa pulang.

“Tiada isu atau masalah kekurangan kakitangan kerana semua berkerja seperti biasa. Namun bagi memastikan kebajikan mereka, kita menghantar bekalan makanan ke semua pejabat-pejabat kita di China.

“Bekalan makanan itu dihantar dari semasa ke semasa menerusi penerbangan komersial. Memansangkan kita suruh kakitangan untuk kekal berada di sana maka menjadi tanggungjawab kita untuk hantar makanan kepada mereka,” katanya.