Warga Myanmar serang polis cedera ditembak

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhammad Halim Yatim berkata, sebelum menyerang polis, suspek telah mencederakan rakan sekerjanya warga Thailand sehingga parah di kepala.

Seorang tukang kebun warga Myanmar berusia 30 tahun cedera di perut dan belakang badan selepas ditembak polis ketika cuba menyerang anggota berkenaan dengan menggunakan cangkul dalam satu kejadian di Kampung Baru Sungai Serai semalam.

Sinar Harian melaporkan, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhammad Halim Yatim berkata, sebelum menyerang polis, suspek telah mencederakan rakan sekerjanya warga Thailand sehingga parah di kepala.

Muhammad Halim

Menurutnya, dalam kejadian jam 7.33 malam itu, pihak polis menerima panggilan daripada penduduk setempat memaklumkan seorang lelaki cedera dan terbaring di atas jalan selepas terbabit dalam pergaduhan.

“Setibanya dua anggota polis dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) di lokasi mereka mendapati mangsa terbaring dan tidak sedarkan diri.

“Suspek yang berada di lokasi kejadian bertindak menyerang anggota polis dengan menggunakan cangkul, malah turut merosakkan kenderaan polis pada bahagian hadapan dan bumbung kereta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhamad Halim, tindakan suspek berkenaan memaksa anggota polis melepaskan beberapa das tembakan sebagai langkah mempertahankan diri.

Beliau berkata, suspek dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar semalam bagi mendapatkan rawatan.

“Kita akan mendapatkan perintah penahanan reman ke atas suspek hari ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menyiasat punca kejadian itu berlaku,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307, 326 Dan 427 Kanun Keseksaan.