MPK sasar 10 peratus pengurangan karbon di Kuantan

Yang Dipertuanya, Datuk Hamdan Hussin berkata, perancangan jangka sederhana yang bermula tahun ini telah menjadikan bangunan MPK sebagai ‘building partner’ dalam memastikan sasaran ini dapat dicapai.

Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menyasarkan pengurangan karbon sebanyak sepuluh peratus di Kuantan pada tahun ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Hamdan Hussin berkata, perancangan jangka sederhana yang bermula tahun ini telah menjadikan bangunan MPK sebagai ‘building partner’ dalam memastikan sasaran ini dapat dicapai.

“Kuantan sebagai Bandar Rendah Karbon ini menyasarkan kadar karbon dapat dikurangkan sebanyak sepuluh peratus dari tahun penanda aras iaitu tahun 2019.

“Ini melalui matlamat yang ditetapkan di dalam Sustainable Development Goals (SDGs) yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan alam sekitar menjelang 2030,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Kuantan Bandaraya Lestari dan Berdaya Huni di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Abd Rahim Muda, Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Datuk Indera Nazri Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Aspirasi Penduduk dan NGO, Kuantan Bandaraya Lestari, Datuk Wan Solihi Wan Hassan.

Beliau berkata, MPK akan memperluaskan perlaksanaan ini meliputi pusat bandar Kuantan dengan sasaran pengurangan karbon sebanyak 45 peratus selepas itu.

Selain itu, beliau berkata MPK juga dalam perancangan menjadikan Kuantan sebagai Bandar Pintar menjelang tahun 2030.

“Konsep Bandar Pintar ini digunakan sebagai salah satu pendekatan untuk menyelesaikan isu-isu perbandaran bagi meningkatkan kualiti hidup, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, membangunkan persekitaran mampan dan selamat serta menggalakkan bandar yang cekap melalui penggunaan ICT dan kemajuan teknologi.

“Sekiranya hasrat ini dapat dilaksanakan, kita akan mampu meningkatkan tahap kualiti hidup, menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan kecekapan pengurusan dan perkhidmatan serta mengurangkan masalah alam sekitar,” katanya.