Rompin FA terus lahirkan pengadil wanita

Ketua Pembangunan Pengadil Rompin FA, Mohd Radzi Abdul Manan berkata, setakat ini persatuan itu memiliki tiga pengadil wanita yang kini mengikuti kursus pengadil kelas satu dan tiga anjuran FAM.

Persatuan Bolasepak Daerah Rompin (Rompin FA) menyambut baik keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggunakan pengadil wanita dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengumuman berkenaan memperlihatkan bahawa FAM menghargai sumbangan wanita dalam mengadili kejohanan bola sepak di negara ini.

Ketua Pembangunan Pengadil Rompin FA, Mohd Radzi Abdul Manan berkata, setakat ini persatuan itu memiliki tiga pengadil wanita yang kini mengikuti kursus pengadil kelas satu dan tiga anjuran FAM.

Katanya, mereka adalah Azlina Mohd Nong, 29; Nurul Aishah Jalil, 29 dan Syahirah Isa, 28.

“Dua pengadil iaitu Azlina dan Nurul Aishah mula mengikuti kursus pemilihan pengadil pada 2017 manakala Syahirah pula pada 2018. Kita harap mereka dapat mengikuti kursus dan menjadi pengadil di peringkat lebih tinggi.

“Ini kerana tugas itu bukannya mudah kerana pengadil bola sepak lebih sinonim dengan lelaki,” katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid mengesahkan tiga pengadil wanita akan mengadili Liga M musim ini.

Mereka adalah Nur Akmal Anua, 32, Rita Gani, 43 dan Nurul Ain Izatty Zainal, 22.

Pengumuman itu melakar sejarah baharu bola sepak negara apabila bakal mengendalikan perlawanan-perlawanan Liga Super dan Liga Perdana.