Nyaris langgar gajah sedang menyeberang sungai

Pada ketika itu dia yang memandu bot penambang ke Taman Negara Kuala Tahan lalu segera meminta rakannya yang lebih cekap mengemudi haluan bot supaya tidak melanggar belakang gajah liar. - Jaii Suzuran

Pemilik akaun Facebook, Jaii Suzuran terkejut menemui seekor gajah sedang berenang yang berlaku kira-kira pada jam 1 tengah hari di Sungai Tembeling berdekatan Kampung Padang, Kuala Tahan dekat sini.

Katanya, dia dan rakannya nyaris melanggar belakang gajah liar yang menyeberangi Sungai Tembeling daerah ini satu pengalaman yang tidak dilupakan dan boleh dikatakan berdepan peristiwa agak menakutkan.

“Pada mulanya saya menyangka batang kayu hanyut atau batu yang berada di tengah sungai dalam jarak yang agak dekat di hadapan bot kami.

Seekor gajah sedang menyeberang sungai yang dirakam Jaii.

“Rupa-rupanya objek yang seakan-akan kayu hanyut atau batu itu iaitu belakang seekor gajah berendam (berenang) dalam air,” katanya yang memiliki laman sosial itu.

Menurut Jaii, pada ketika itu dia yang memandu bot penambang ke Taman Negara Kuala Tahan lalu segera meminta rakannya yang lebih cekap mengemudi haluan bot supaya tidak melanggar belakang gajah liar.

Katanya, dia berasa agak panik melihat belakang gajah liar yang dipenuhi lumpur sudah begitu hampir di hadapan bot gentian kaca yang mereka naiki.

“Rupanya gajah ini sedang berenang menyeberangi sungai ini untuk mencari makanan di kawasan seberang.

Gajah itu mula naik ke darat selepas berenang menyeberang sungai tembeling.

“betul-betul mendebarkan, saya nampak seekor gajah. Mujurlah kami tidak melanggar gajah ini. Sekiranya kami tidak segera mengelak sudah tentu berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Jaii berkata, dia dan dua orang rakannya membiarkan gajah itu selesai menyeberangi Sungai Tembeling sambil mendengar tempikan gajah kerana haiwan itu tidak suka diganggu.

Sementara itu, nelayan sungai di Kampung Pagi, Ahmad Omar berkata, kejadian gajah liar berenang menyeberangi sungai kerap ditemui di Sungai Tembeling dan Sungai Kenyam berdekatan hutan Taman Negara.

“Selalunya gajah ini menyeberangi sungai ini untuk mencari makanan di kawasan seberang pada waktu tertentu, haiwan liar itu kadang-kadang berenang secara berkumpulan dan pemandu perlu memberhentikan bot penambang kerana gajah begitu sensitif dengan bunyi enjin,” katanya.