Amanah yakin Dr M tidak khianati mandat rakyat

Khalid yakin, kalau pun ada usaha untuk membentuk kerajaan pintu belakang itu, Tun Dr Mahathir tidak terlibat.

Amanah yakin Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan terlibat dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang dikatakan sedang bergerak sekarang kerana usaha itu adalah mengkhianati mandat rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

“Mana-mana usaha yang nak membentuk kerajaan mengikut pintu belakang adalah satu pengkhianatan dan kita tidak akan bersama dengan usaha itu,” kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad  dalam sidang medianya hari ini.

Malaysia Dateline melaporkan, Khalid yakin, kalau pun ada usaha untuk membentuk kerajaan pintu belakang itu, Tun Dr Mahathir tidak terlibat.

“Ini kerana semua permintaan partinya iaitu Bersatu telah kita setuju dalam mesyuarat Majlis Presiden,” kata Khalid mengulas khabar yang bertiup kencang sekarang kononnya komposisi kerajaan akan bertukar.

Menurut Khalid, beliau ada dengar khabar angin kononnya satu kerajaan gabungan baru sedang diusahakan.

“Mungkin ada yang tidak puashati. Tetapi bagi saya ia bergantung kepada Tun. Bagi saya tidak ada sebab kenapa Tun perlu bersama faktion yang lain kerana kita telah bersetuju dengan apa yang diminta partinya iaitu dia diberikan masa dan terpulang kepada dia untuk menentukan masa peralihan.

“Kalau kita dah setuju dengan semua itu, apa sebab Tun mahu mencari atau bersama dengan golongan yang nak bersama dengan Pas dan Umno,” kata Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

Bagi Khalid, Amanah akan kekal dengan Pakatan Harapan.

“Kita tidak akan khianati amanah yang diberikan oleh rakyat. Rakyat memilih Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan.

“Amanah tidak ikut mana-mana pihak, kita pegang prinsip kita,” kata Khalid.