Anwar sifatkan situasi politik terkini satu ‘pengkhianatan’

Anwar berkata, walaupun tidak ada pengumuman malam ini, daripada maklumat yang beliau terima memang ada usaha sedemikian.

Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan perkembangan politik tanah air hari ini sebagai satu “pengkhianatan”.

“Dan kita juga dikejutkan hari ini dengan perkembangan yang bagi kita satu juga pengkhianatan kerana sudah janji dan sebagainya, maka menyebabkan ada perubahan.

“Dan saya jangka akan berlaku dalam masa terdekat, mungkin esok,” kata Anwar kepada penyokongnya di rumahnya di Kuala Lumpur.

Anwar berkata, walaupun tidak ada pengumuman malam ini, daripada maklumat yang beliau terima memang ada usaha sedemikian.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan beberapa kem politik bermesyuarat pada hari ini mencetuskan spekulasi berlakunya pensejajaran semula kekuasaan negara.

Sekitar tengah hari tadi, para anggota parlimen yang setia kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali disahkan berkumpul di Sheraton Hotel Petaling Jaya, manakala Majlis Tertinggi Bersatu mengadakan mesyuarat di ibu pejabatnya, yang tidak jauh dari hotel itu.

Para pemimpin dan MP Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula bertemu petang ini di Ritz Carlton, Kuala Lumpur.

Majlis Tertinggi Umno juga mengadakan pertemuan di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Sekitar jam 8 malam tadi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali serta pelbagai anggota parlimen daripada BN, GPS dan PAS dilihat masuk ke dewan di Hotel Sheraton.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof kemudian tiba di situ untuk hadir majlis makan malam.

Mereka disusuli Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Anggota Parlimen Jeli Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Perak Faizal Azumu beberapa minit kemudian.

Antara yang dilihat di hotel itu ialah:

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man (MP Kubang Kerian)

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa (MP Ketereh)

Anggota MPT Bersatu Redzuan Mohd Yusof (MP Alor Gajah)

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin (MP Ampang)

Khairy Jamaluddin (MP Rembau)

Presiden MIC SA Vigneswaran

Timbalan Presiden MIC M Saravanan (MP Tapah)

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan (MP Kota Bharu)

Nik Mohamad Nawawi (PAS – MP Pasir Puteh)

Bekas setiausaha agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor

Ketua Pemuda MCA Nicole Wong