Maria Chin kekal bersama PKR

Kata Maria, penting untuk PH kekal dengan komitmen dan idealisme untuk merangsang rakyat bangkit melebihi daripada isu perebutan jawatan perdana menteri.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, mengingatkan PH bahawa rakyat memberi mandat kepada gabungan itu untuk kerajaan, justeru sebarang perubahan ke atasnya mesti tidak bercanggah dengan aspirasi mereka.

Malaysiakini melaporkan, beliau yang juga bekas pertubuhan pendesak reformasi pilihan raya, Bersih, berkata dalam pilihan raya umum (PRU) lalu PH diberikan kepercayaan untuk melakukan pelbagai perubahan dalam negara ini.

“Menjadi tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat dari PH melaksanakan janji untuk memperjuangkan agenda reformasi, memastikan kesejahteraan meliputi semua segmen masyarakat, dan mengembalikan kuasa kepada yang berhak, iaitu rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Menurut Maria lagi, PH mendapat keyakinan rakyat berdasarkan premis bahawa semua empat parti bergabung dengan hak yang sama, dan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh, sebelum digantikan dengan Anwar Ibrahim.

Katanya pelan penggantian perdana menteri itu diulang sekali lagi oleh Mahathir selepas mesyuarat Majlis Presiden PH pada Jumaat lalu dan disokong pemimpin parti.

“Majlis Presiden PH meletakkan kepercayaan kepada Mahathir untuk memutuskan tarikh perubahan itu berlaku.

“Cabaran akan terus dihadapi, dan banyak dasar pembaharuan perlu terus dilaksanakan seperti wawasan kesetaraan ekonomi, pilihan raya yang bersih dan adil, serta menghapuskan rasuah dari semua aspek kehidupan,” katanya.

Dengan latar belakang sebagai aktivis pergerakan sivil, Maria baru-baru ini menjadi sasaran kritikan ramai apabila difahamkan turut hadir dalam pertemuan ahli parlimen PKR dengan timbalan presiden parti itu, Azmin Ali.

Perjumpaan berkenaan dipercayai sebahagian daripada gerakan untuk membina kerjasama baru antara mereka dengan parti pembangkang serta Bersatu, sekali gus menutup pintu untuk Anwar menjadi perdana menteri kelapan.

Kata Maria, penting untuk PH kekal dengan komitmen dan idealisme untuk merangsang rakyat bangkit melebihi daripada isu perebutan jawatan perdana menteri.

“Sekiranya penjajaran semula diperlukan, ia wajib dilakukan secara konsensus.

“Semangat PH untuk berkongsi kemakmuran dan merealisasikan pembaharuan demokratik mesti dikekalkan.

“Apa-apa perubahan lain mesti melalui proses pilihan raya yang demokratik. Sebarang percubaan untuk melakukan sebaliknya hanya menunjukkan ia bercanggah daripada kemahuan rakyat,” katanya.

Sementara itu seorang pembantu Maria menyatakan, beliau kekal dengan pendirian untuk menolak cadangan membentuk kerajaan melalui pintu belakang.

Maria juga mengesahkan untuk kekal bersama PKR dengan perkembangan terkini sekarang.