Najib nafi tandatangan SD sokong Dr M

Malah beliau menyatakan rasa terkejut apabila ada portal tertentu yang memetik namanya.

Bekas perdana menteri Najib Razak menafikan laporan yang mendakwa beliau menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri.

Malaysiakini melaporkan, malah beliau menyatakan rasa terkejut apabila ada portal tertentu yang memetik namanya.

“Saya tidak pernah bercakap dengan The Malaya Post,” kata Najib dalam catatan di Facebook pagi ini.

“Kenapa tiba-tiba petik nama saya?” soal Najib lagi.

Semalam, portal berita yang baru itu melaporkan Najib menandatangani SD sebagai menyokong Mahathir untuk mengetuai kerajaan campuran baru.

Bagaimanapun lapor portal berita berkenaan, Najib meletakkan beberapa syarat bagi menyokong kerajaan campuran itu.

Kedudukan Najib dalam mana-mana gabungan telah mencetuskan spekulasi ekoran cubaan pembentukan kerajaan campuran baru membabit Bersatu, segelintir pemimpin PKR, Umno dan PAS.

Umum mengetahui bahawa hubungan bekas presiden Umno itu dengan perdana menteri memang tegang sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Pembentukan kerajaan baru untuk menggantikan PH hangat diperkatakan semalam apabila pemimpin Bersatu, Umno, PAS, GPS dan Warisan bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong.

Presiden MIC SA Vigneswaran memberitahu media bahawa Bersatu telah keluar daripada PH manakalaTimbalan Presiden PKR Mohamed Azmin meninggalkan PKR.

Bagaimanapun perkara ini tidak disahkan oleh Azmin.

Begitu juga tidak ada pengumuman rasmi dari Mahathir atau mana-mana pihak mengenai perkara itu pada pagi ini.

Mahathir sendiri hanya muncul di mesyuarat Bersatu semalam, tetapi tidak hadir ke Istana Negara dan dan Hotel Sheraton Petaling Jaya.