Tun M dilantik Perdana Menteri Interim

TUN Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri interim mengikut Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, dalam satu kenyataan berkata sebagai Perdana Menteri interim, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri dan anggota Kabinet baharu dilantik.

Difahamkan, Dr Mahathir menghantar surat peletakan jawatannya ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Negara dan Baginda juga berkenan menerima peletakan jawatan tersebut.

Dr Mahathir juga mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkuat kuasa serta-merta.