Adly masih sah sebagai KM Melaka

Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas, berkata, jawatan Adly sebagai Ketua Menteri, masih lagi sah, walaupun berlaku pergolakan politik tanah air, yang turut membabitkan beberapa pertukaran kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.

Ketua Menteri, Adly Zahari masih lagi kekal menjawat jawatan itu, selagi tiada pengumuman baharu dibuat mengenainya.

Melaka Kini melaporkan, Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas, berkata, jawatan Adly sebagai Ketua Menteri, masih lagi sah, walaupun berlaku pergolakan politik tanah air, yang turut membabitkan beberapa pertukaran kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.

“Tiada apa-apa yang berlaku, itu politik, tetapi dari segi dewan masih lagi tiada siapa-siapa yang letak jawatan.

“Kiranya status quo (kekal dan tidak berubah), melainkan ada pengumuman (baharu dibuat).

“Setakat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) keluar Pakatan Harapan (PH) itu politik, tetapi dari segi pelantikan, masih tiada perubahan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Semalam, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya mengumumkan parti itu keluar dari PH.

Di Melaka, dua kerusi BERSATU dimiliki Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Telok Mas (Datuk Noor Effandi Ahmad).

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei 2018, PH mempunyai 15 kerusi (termasuk BERSATU), manakala BN-UMNO, 13 kerusi keseluruhan.