Anggota polis melecur disimbah asid

KUANTAN – Seorang anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang melecur di beberapa bahagian badan akibat disimbah asid oleh seorang lelaki tidak dikenali, petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.10 petang ketika mangsa yang berpangkat sarjan itu baru pulang dari Kuala Lumpur ke kediamannya di Taman Mahkota Putra, Bandar Indera Mahkota di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, mangsa berusia 51 tahun itu didatangi seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal dengan berpura-pura sebagai penghantar hamper.

“Siasatan awal mendapati suspek sudah datang ke rumah mangsa sebelum itu namun beredar sebaik menekan loceng rumah beberapa kali dan mendapati mangsa tiada di rumah.

“Dia kembali semula ke rumah mangsa dan memanggil mangsa  untuk mengambil sebuah hamper yang dikirimkan.

“Selepas mangsa  mengambilnya dan ketika hendak masuk semula ke rumah, suspek bertindak menyimbah asid sebelum melarikan diri,”katanya.

Mohamad Noor berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek terlibat dan kes diaiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

tamat