Gunung Tapis, kejam dan serius! Semua jenis trek Tapis “belanja”

    DIBERIKAN peluang menyertai Latihan Pemantapan Kecergasan Fizikal dan Simulasi Penyelamatan di Hutan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang membuka mata penulis akan kesukaran dan pengorbanan unit beruniform itu.

    Latihan yang diadakan selama dua hari di Gunung Tapis itu disertai 60 pegawai dan anggota bomba termasuk pengamal media Pahang dan wakil agensi yang turut bertujuan menawan puncak Tapis.

    Menerusi program itu, pengamal media dan agensi diberikan peluang menyaksikan sendiri bagaimana kesusahan dan cabaran bomba dalam menghadapi halangan menyelamat dan membawa turun pendaki yang sakit atau tercedera di hutan dan pergunungan.

    Ketua Unit Special Tactical Operation Rescue Malaysia (STORM) Mohd Haziq Hazmi berkata, Gunung Tapis dipilih menjadi lokasi latihan pada kali ini kerana gunung tersebut semakin mendapat tumpuan para pendaki pada masa kini dan merupakan antara gunung paling mencabar serta berisiko.

    “Simulasi dan latihan itu dapat memberikan gambaran sebenar kepada peserta tentang kaedah rawatan awal untuk membantu dan penyelamatkan pendaki yang cedera, sebelum dibawa turun dari gunung dan hutan.

    “Kebanyakan panggilan yang kita terima membabitkan kecederaan seperi kekejangan otot, patah kaki dan sesak nafas. Latihan ini merupakan inisiatif mempelajari jika ada kecemasan yang berlaku di Gunung Tapis selain bertujuan memberi kesedaran kepada pegawai dan anggota bomba yang terlibat, untuk memantapkan lagi fizikal mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

    “Latihan ini juga diharap dapat memberi pendedahan kepada media dan masyarakat tentang tugas penyelamat di kawasan berisiko. Alhamdulillah di samping jalani latihan kesemua peserta selamat tiba di puncak GunungTapis dan  tiada kecederaan yang berlaku sepanjang pendakian,” katanya ketika ditemui di puncak Tapis.

    S///Perjalanan panjang dan mencabar

    Turut terlibat dalam latihan ini ialah pasukan elite bomba Multy Skill Team (MUST) yang berperanan ketika kecemasan.

    Latihan dimulai dengan acara perasmian dan pelepasan oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Abdul Rahim Muda di Dataran Sungai Lembing.

    Sebelum memulakan pendakian peserta perlu mengharungi cabaran kenderaan pacuan empat roda selama lebih dua jam menempuhi jalan tanah merah, yang merupakan laluan pembalakan.

    Laluan tersebut bukan cabaran mudah kerana memerlukan skil dan kemahiran mengawal kenderaan ketika melalui jalan basah dan licin, Jika silap percaturan, kenderaan boleh menjunam ke dalam gaung.

    Ada ketika tayar kenderaan seperti tidak dapat dikawal dan bergerak sendiri malah terdapat kumpulan yang terpaksa berjalan keluar dari kenderaan kerana tersangkut.

    Usai melalui perjalanan menyulitkan dengan pacuan empat roda, cabaran sebenar pun bermula di mana peserta memulakan pendakian di laluan hutan yang becak, berakar dan berbatu, merentasi sungai dan gigi air terjun serta melalui juram tinggi yang licin dan berdepan track bersudut 90 darjah.

    Kebanyakan laluan mencanak tidak disediakan tali dan peserta hanya bergantung dengan kemahiran sendiri untuk memanjat dengan berpaut akar pokok atau apa sahaja yang kukuh dan boleh dijadikan batu asas untuk memijak.

    S/////Semua jenis trek

    Melalui lereng berbatu yang licin dan berlumut membuatkan dua peserta wanita jatuh terduduk sehingga ada yang kekejangan otot namun bantuan awal STORM dan MUST Team dapat meredakan keadaan pesakit dan boleh berjalan semula. Ada pula peserta yang tersentuh ulat bulu berbisa di kaki Tapis sehingga memerlukan rawatan.

    Ketinggian Tapis ialah 1512 meter dari aras laut iaitu sekitar 4957 kaki. Dari kaki gunung ke Kem Pinang iaitu tempat bermalam pendakian mengambil masa antara empat ke lima jam sebelum berehat dan kembaki mendaki pada jam 2 pagi.

    Dari Kem Pinang ke Puncak Tipu dan Puncak Tapis mengambil masa sekitar empat jam lagi dengan laluan yang lebih mencabar, berselut dan kesejukan.

    Secara keseluruhan pendaki merentasi sungai lebih lapan kali, berdepan semua jenis trek seperti trek berakar, trek landai, trek 45 darjah dan 90 darjah, halangan balak tumbang, trek batu, trek selut dan lumut serta trek curam dan juram sebelum tiba di puncak.

    Apapun pemandangan sepanjang mendaki sangat indah dan mengasyikkan terutama air terjun Wasan dan Kolam Orkid serta beberapa lagi lokasi tanpa nama. Melepasi puncak tipu sekitar 30 meter ke puncak, pokok pokok bonzai mengiringi laluan seperti berada dalam terusan bonzai.

    Lebih memeranjatkan, seekor ular katam tebu menanti kami di puncak sebelum dihalau oleh pengiring atau guide hutan.

    Jurupandu arah, Mohammad Shahrizal Dollah berkata, faktor cuaca hujan, kelembapan, trrk berselut, keadaan muka bumi dan laluan panjang serta banyak melalui sungai antara cabaran hebat yang membezakan Tapis dengan gunung-gunung hardcore yang lain di Semenanjung Malaysia.

    Menurutnya, daya tarikan utama puncak Tapis ialah dataran bonzai yang mana pokoknya hanya  setinggi paras buku lali.

    Seorang peserta yang juga penguasa bomba, Zulfadli Zakaria berkata, beliau teruja dan tertarik dengan persekitaran pendakian kerana menempuh laluan yang amat mencabar mental dan fizikal.

    “Jika tiada persediaan rapi dan cukup tidak mungkin peserta mampu menawan puncak Gunung Tapis berpandukan masa yang ditetapkan,” katanya.

    Bagi penulis, kejam dan serius ialah dua perkataan bagi menggambarkan pengalaman peribadi mendaki Gunung Tapis.

    Anda tidak boleh bersikap sambil lewa selain menapis setiap perbuatan dan budi bicara, sesuai namanya. Cantik dan indah tetapi awas! kiri dan kanan, ada bahaya.

    Pesan penulis lindungi jari dan tapak tangan anda dengan sarung kerana dalam keadaan penat dan hanya ingin sampai ke kaki gunung dengan segera, penulis tidak sedar di tapak tangan dan jari ada lima selumbar duri.

    Mungkin gara-gara berpaut pada pohon berduri  ketika cuba menyeimbangkan diri semasa terjatuh.

    Tamat