Ketua Polis Daerah diminta pantau senario politik setempat, rakyat jangan taksub dan mudah sebar berita palsu

KUANTAN – Semua Ketua Polis Daerah di negeri ini diminta memantau senario semasa di daerah masing-masing susulan perubahan politik yang tidak menentu pada masa kini.

Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata, hal ini sebagai langkah pencegahan dan persediaan sekiranya berlaku perkara perkara tidak diingini.
 
” InsyaAllah setakat ini Pahang masih aman dan makmur. Keadaan semasa dijamin terkawal, cuma saya ingin nasihat kepada orang ramai agar tidak terlalu taksub atau mempercayai maklumat yang tidak sahih yang datang daripada luar.

“Jika ingin mendapatkan maklumat sahih sila rujuk pihak berkenaan seperti polis dalam apa juga perkara atau maklumat.Setakat ini di Pahang keadaan ketenteraman masih terkawal,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak terjebak dalam aktiviti penyebaran maklumat kurang pasti hingga memanjangkan pula maklumat itu.

Jika didapati bersalah menyebarkan maklumat palsu mereka boleh didakwa di bawah akta multimedia yang boleh menyebabkan mereka dipenjarakan atau didenda

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Serah Tugas Ketua Jabatan Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang, di IPK, hari ini.