Kleptokrat, korup tak dijemput sertai kerajaan Dr M – A Kadir Jasin

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu itu turut berkata, kemelut politik negara hari ini merupakan satu ujian bagi kemunasabahan untuk rakyat dan daya tahan sistem politik negara.

Apa jua keputusan Dr Mahathir Mohamad dalam menubuhkan kerajaan baru, perdana menteri sementara itu tidak akan menjemput kleptokrat dalam kerajaannya nanti, kata tokoh wartawan A Kadir Jasin.

Malaysiakini melaporkan, susulan daripada kejatuhan Pakatan Harapan, Kadir yang pernah menjadi penasihat media Mahathir menyuarakan pandangannya mengenai desas-desus pembentukan kerajaan perpaduan.

“Apa jua kerajaan yang akan diputuskan oleh Dr Mahathir, satu perkara sudah pasti. Penjenayah, kleptokrat, OKT (orang kena tuduh) dan yang korup tidak dijemput.

“Ini telah dijelaskan kepada partinya pada mesyuarat Ahad lalu.

“Kedaulatan undang-undang, perbicaraan berprofil tinggi dan agenda reformasi akan diteruskan,” tulisnya dalam blog beliau hari ini.

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu itu turut berkata, kemelut politik negara hari ini merupakan satu ujian bagi kemunasabahan untuk rakyat dan daya tahan sistem politik negara.

“Siapa yang dapat bayangkan yang satu hari nanti kita akan diperintah oleh perdana menteri sementara yang berusia 94 tahun dengan perkenan raja dan penjawat awam yang bijaksana?

“Ia sedang berlaku sekarang,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh semalam dan surat dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada 1.00 tengah hari.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dalam kenyataan semalam memaklumkan Seri Paduka berkenan melantik Mahathir sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.