Azmin dan kumpulannya perlu didakwa

Tindakan sekumpulan ahli parlimen yang didalangi Azmin itu melanggar prinsip demokrasi berparlimen dengan cubaan meruntuhkan sebuah kerajaan yang sah.

Bekas Timbalan Presiden KeAdilan, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali serta semua ahli parlimen yang bersamanya perlu diambil tindakan undang-undang.

Perak Insights melaporkan, peguam muda, Mohd Fitri Asmuni berkata, tindakan itu perlu kerana telah melanggar prinsip perlembagaan dan undang-undang negara.

Menurutnya, tindakan sekumpulan ahli parlimen yang didalangi Azmin itu melanggar prinsip demokrasi berparlimen dengan cubaan meruntuhkan sebuah kerajaan yang sah.

“Saya percaya di sebalik ‘langkah Sheraton’ didalangi Azmin dan kumpulannya seperti mana disebut oleh pimpinan PH, seperti mana kita tahu ia satu langkah untuk meruntuhkan kerajaan PH yang sah, yang melalui proses demokrasi melalui pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.

“Langkah mereka ini adalah satu langkah yang dibuat tanpa berasaskan undang-undang, ia boleh boleh disiasat mengikut Seksyen 124 (b) dan Seksyen 124 (c) Kanun Keseksaan (penal kod).

“Ini kerana tidak ada asas undang-undang untuk mereka melakukan perkara itu. Kerana pertukaran kerajaan itu hanya boleh dilakukan dengan kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh perlembagaan.

“Antaranya seperti melalui pilihan raya, undi tidak percaya di parlimen atau perdana menteri memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya parlimen dibubarkan.

“Tetapi apa yang dilakukan oleh Azmin itu tidak ada satu pun asas yang bertepatan dengan undang-undang,” katanya, lapor malaysiakini hari ini.

Pengerusi Biro Kanun (Undang-Undang) Pemuda AMANAH Nasional itu berkata, Azmin dan pasukannya itu tidak boleh sama sekali dimaafkan kerana perbuatan mereka itu telah menjejaskan kestabilan politik, ekonomi dan negara kita ke tahap yang membimbangkan dan panik.

“Langkah ini perlu bukan saja sebagai hukuman terhadap perbuatan jahat mereka, malah sebagai pengajaran kepada pihak lain agar tidak melakukan jenayah yang sama kepada negara,” tegasnya.