Kenapa PH calonkan Anwar sebagai PM, bukan Mahathir

Ahli Parlimen Pakatan Harapan hari ini yang mengadap Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Negara telah memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, bukan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Melalui satu hantaran di Facebook, Adun Semambu, Lee Chean Chung menjelaskan bahawa selepas Bersatu menarik diri daripada Pakatan Harapan, disusuli dengan perletakan jawatan Dr Mahathir daripada Bersatu, Mahathir bukan lagi ahli dalam Pakatan Harapan.

Menurutnya, Pakatan Harapan tidak mempunyai asas untuk menjadikan beliau sebagai salah satu pilihan calon Perdana Menteri.

“Hakikatnya, Dr Mahathir telah memungkiri janji-janji dalam perjanjian Pakatan Harapan. Apa yang ramai tidak sedar bahawa ketika Mahathir mengumumkan Kerajaan Campuran, beliau tidak lagi menyebelahi Pakatan Harapan. Kerajaan Campuran bukannya dasar Pakata Harapan.

“Jika menyokong Pakatan Harapan, beliau sepatutnya cuba membentuk Kerajaan Pakatan Harapan dengan sokongan beberapa pihak yang lain, tetapi bukannya kerajaan yang lebih diktator atau kemungkinan besar kerajaan campuran yang sekadar tambah dan muat,” jelasnya.

Beliau menambah, perjanjian untuk penyerahan kuasa bukan hal Pakatan Harapan tetapi ia adalah perjanjian antara Mahathir dan Anwar (Ditegaskan oleh kedua-dua pihak banyak kali).

“Pada waktu sekarang, Mahathir boleh menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri yang ke-8 tetapi perlu lihat, sama ada beliau nak ke tidak?,” soalnya.