Tidak sanggup bekerjasama dengan Umno punca Dr M letak jawatan

Katanya, selepas Kerajaan Pakatan Harapan gugur, Bersatu sokong PAS dan Umno, maka kerajaan ini akan didominasi oleh Umno sebagai parti yang terbesar.

Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa ketidaksanggupan bekerjasama dengan Umno merupakan punca utama beliau meletak jawatan.

Malaysiakini melaporkan, pada perutusan khasnya, sebentar tadi yang disiarkan di televisyen Ahli Parlimen Langkawi itu menjelaskan mengapa meletak jawatan perdana menteri, Isnin lalu.

Katanya, selepas Kerajaan Pakatan Harapan gugur, Bersatu sokong PAS dan Umno, maka kerajaan ini akan didominasi oleh Umno sebagai parti yang terbesar.

“Saya sanggup terima ahli Umno yang keluar Umno dan menyertai parti lain. Tetapi Umno akan sertai kerajaan campuran ini sebagai parti Umno. Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan,” katanya.

Beliau turut berkata bahawa meminta gabungan Pakatan Harapan sedikit masa untuk menerajui kerajaan pusat selepas berpendapat mendapat sokongan oleh kedua-dua pihak.

“Saya berpendapat masa untuk saya letak jawatan belum tiba. Saya minta diberi masa.

“Tetapi parti saya Bersatu memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan. Ada juga ahli dari parti komponen lain yang akan keluar. Dengan perlakuan ini Kerajaan Pakatan Harapan akan gugur,” jelasnya.

Pada Isnin, Kerajaan PH berusia 20 bulan runtuh ekoran Bersatu bertindak keluar daripada gabungan PH tanpa persetujuan Mahathir yang merupakan pengerusi parti tersebut.

Ini mengakibatkan Mahathir turut meletak jawatan sebagai pengerusi parti berkuat serta-merta sebagai tanda tidak puas hati.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatan beliau sebelum itu pada hari yang sama.

“Sebagai manusia biasa saya tidak sunyi dari melakukan kesilapan. Saya pohon maaf jika peletakan jawatan oleh saya adalah salah,” tambahnya lagi.