Bersatu Selangor tuntut pemimpin parti bawa keluar PH letak jawatan

Sallehuddin yang merupakan Adun Kuang berkata, perbuatan ini mengkhianati mandat ahli parti yang telah bersama berjuang menumbangkan kerajaan kleptokrasi bersama-sama di dalam Pakatan Harapan sebelum ini.

Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor menuntut supaya pemimpin parti yang membuat keputusan supaya partinya keluar dari Pakatan Harapan (PH) meletakkan jawatan, kata Ketua Penerangannya, Sallehudin Amiruddin.

Malaysia Dateline melaporkan, Sallehuddin yang merupakan Adun Kuang berkata, perbuatan ini mengkhianati mandat ahli parti yang telah bersama berjuang menumbangkan kerajaan kleptokrasi bersama-sama di dalam Pakatan Harapan sebelum ini.

“Bila kita mempercayai musuh yang kelihatan baik lebih daripada mempercayai rakan dan sahabat yang berhempas keringat jerih perit untuk menjulang kemenangan ditinggalkan.

“Saya menuntut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang membuat keputusan keluar Pakatan Harapan meletakan jawatan kerana kamu telah membuat keputusan yang salah dengan mempercayai musuh daripada sahabat dan rakan yang berjuang untuk menegakkan kebenaran,” katanya.

Bagi Sallehuddin, ahli Bersatu tidak rela diperalat demi mencapai nafsu serakah segelintir pimpinan yang telah menyebabkan Bersatu dipandang hina oleh parti dan rakyat seluruhnya.

Kerana terpengaruh dengan bekas timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pengikutnya telah membuat keputusan membawa keluar Bersatu dari PH.

Namun begitu, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan keputusan itu sehingga menyebabkan beliau meletakkan jawatan.

Menurut Ahli MPT Bersatu, Datuk Kadir Jasin, Tun Mahathir marah kerana pemimpin PPBM lebih percaya kepada Setiausaha Politik beliau daripada dirinya sendiri.