Jika Muhyiddin dipilih jadi PM, Dr M ‘okey’

Ditanya sama ada beliau akan menimbang untuk Bersatu kembali menyertai PH, Mahathir berkata parti itu perlu membincangkannya dahulu.

Perdana Menteri sementara Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tengah hari tadi, lapor Malaysiakini.

Bercakap dalam sidang media, Mahathir berkata perbincangan termasuklah kemungkinan Muhyiddin menjadi calon perdana menteri dari Bersatu.

“Jika semua orang pilih dia, saya okey,” katanya.

Ditanya sama ada ia bermakna parti itu akan menamakan dua calon, termasuk dirinya, Mahathir berkata Bersatu masih belum membuat sebarang keputusan.

Beliau berkata mereka ada pandangan berbeza dalam soal kerjasama dengan Umno.

“Pendirian saya, tentunya, tidak menerima Umno sebagai parti komponen.

“Tetapi Muhyiddin lebih longgar (relaxed), agak sedia untuk menerima mereka en bloc (secara keseluruhan),” katanya lagi.

Beliau juga mengesahkan setuju untuk kembali menjadi pengerusi Bersatu.

Menurutnya, Bersatu memintanya untuk kembali pada tiga hari lalu, tetapi beliau meminta diberi masa untuk memikirkannya.

Ditanya sama ada beliau akan menimbang untuk Bersatu kembali menyertai PH, Mahathir berkata parti itu perlu membincangkannya dahulu.