Gabungan baru di Johor tiada majoriti diketepikan 28 Adun PH

Setelah sejam mesyuarat, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata, PH Johor akan menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar secepat mungkin.

Seramai 28 orang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor tampil menyatakan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) selepas Istana Johor berkenan mengumumkan gabungan baru mengambil alih kerajaan negeri.

Malaysiakini melaporkan, dalam sidang media di Johor Bahru Grand Paragon Hotel malam ini, pemimpin PH berkata “gabungan baru” yang merangkumi Bersatu, Umno, MCA, MIC dan PAS tidak mempunyai majoriti.

“PH Johor ingin menegaskan bahawa kami ada sokongan 28 Adun – sembilan dari Amanah, 14 dari DAP dan lima dari PKR. Dan semua hadir malam ini.

“Jadi gabungan baru itu tiada mempunyai majoriti untuk tubuh kerajaan negeri,” kata Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan.

Beliau turut menyebutkan kesemua 28 kawasan Dun yang menyokong PH satu per satu dan disambut dengan sorakan dan tepukan.

Semua wakil rakyat PH, termasuk Adun Pemanis Chong Fat Full dari PKR, dilihat mengangkat kertas yang memaparkan kod kerusi Dun mereka.

Terdahulu, Chong dilaporkan menyokong gabungan baru itu, namun hari ini mengisytiharkan sokongannya terhadap PH.

Setelah sejam mesyuarat, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata, PH Johor akan menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar secepat mungkin.

“Kami telah bersetuju akan menghadap Tuanku Sultan Ibrahim bahawa kita sudah mempunyai jumlah tertentu (supaya perkara ini) disampaikan kepada Tuanku.

“Itu akan dilakukan seberapa segera,” kata anggota parlimen Ledang itu.

Beliau turut menyatakan bahawa PH Johor bersetuju melantik Aminolhuda sebagai penyelaras PH Johor memandangkan Bersatu telah keluar dari PH.

Adun Jeram dari Amanah, Salahuddin Ayub turut bersama dalam sidang media tersebut.

Salahuddin yang juga merupakan timbalan presiden Amanah menjelaskan ketidakhadiran beliau di Bukit Timbalan sebelum ini adalah disebabkan keperluannya untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mengemukakan nama calon perdana menteri pada Rabu lalu.

“Saya pohon maaf kepada Tuanku atas ketidakhadiran saya kerana saya perlu berada di Istana Negara,” katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh kepada PH.

Hari ini, Istana Johor dan Menteri Besarnya, Dr Sahruddin Jamal mengisytiharkan gabungan baru itu mempunyai majoriti di Dun.

Daripada jumlah 56 kerusi, gabungan baru itu kini memegang 27 kerusi manakala PH 28 kerusi.

Satu-satunya Adun yang belum mengisytiharkan sokongannya ialah Mazlan Bujang (Bersatu-Puteri Wangsa).

Menurut laman Johorkini, Mazlan berkata beliau mengambil sikap berkecuali buat masa ini dan sedang menunggu arahan dari pimpinan pusat.