KPN: ‘Seluruh negara tenang cuma suhu meningkat’

Beliau juga berkata polis sudah membuka kertas siasatan mengenai tindakan pihak tertentu yang mendakwa mengetahui pelbagai perkara dalam istana.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, dan Panglima Angkatan Tentera Affendi Bujang, selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong, lapor Malaysiakini.

Bercakap kepada media selepas itu, Abdul Hamid berkata, mereka hadir atas titah perintah Agong yang mahukan taklimat mengenai tahap keselamatan negara ketika ini.

“Alhamdullilah, kami dah pun sempat taklimatkan, keadaan di seluruh negara tenang, cuma suhu meningkat.

“Saya menyeru semua pemimpin politik dan pengikut mereka supaya jalankan kegiatan politik mereka mengikut perlembagaan, dengan penuh tanggungjawab, elakkan kenyataan provokatif dan kepada orang ramai, hentikan spekulasi tak logik,” katanya.

Beliau juga berkata polis sudah membuka kertas siasatan mengenai tindakan pihak tertentu yang mendakwa mengetahui pelbagai perkara dalam istana.

“Bagaimana orang luar boleh tahu (macam-macam) dengan jumlah undi dan sebagainya.

“Jangan main-main dengan perkara macam ini,” kata Abdul Hamid yang turut memaklumkan beliau sudah mengarahkan polis mengambil tindakan yang sewajarnya.

Menurut beliau lagi, walaupun pihak berkuasa menghormati hak bersuara, ia mestilah dalam lingkungan undang-undang negara.

“Hati-hati jangan sampai melepasi batasan undang-undang,” katanya.