Majlis Presiden PH percaya Anwar mendapat jumlah pencalonan terbesar

Majlis Presiden percaya bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim wajar diberi peluang untuk menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan keyakinan majoriti Ahli-Ahli Parlimen terhadap beliau.

KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN

Majlis Presiden Pakatan Harapan menyambut baik kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Ahmad Fadil bin Shamsuddin hari ini, serta menjunjung kasih terhadap perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk terus berusaha mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu pelantikan Perdana Menteri.

Majlis Presiden percaya bahawa calon Pakatan Harapan, iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah mendapat jumlah pencalonan terbesar dari kalangan Ahli-Ahli Parlimen berdasarkan proses yang telah ditentukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tempoh hari.

Majlis Presiden percaya bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim wajar diberi peluang untuk menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan keyakinan majoriti Ahli-Ahli Parlimen terhadap beliau.

Majlis Presiden meletakkan kepercayaan terhadap proses, budi bicara serta kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mencari penyelesaian dalam proses pelantikan Perdana Menteri.