Speaker Dewan Rakyat dipanggil lagi ke Istana Negara

Perkembangan itu berlaku sejurus selepas Mohamad Ariff memutuskan tiada sidang Dewan Rakyat akan diadakan Isnin depan kerana surat pemakluman mengenainya tidak mengikut peraturan.

Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, dipanggil sekali lagi ke Istana Negara, lapor Malaysiakini.

Pagi tadi bekas hakim kanan itu sudah mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Perkembangan itu berlaku sejurus selepas Mohamad Ariff memutuskan tiada sidang Dewan Rakyat akan diadakan Isnin depan kerana surat pemakluman mengenainya tidak mengikut peraturan.

“Mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3), pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Setakat ini tiada notis dikeluarkan,” katanya.