Armada tetap sokong Dr M

Syed Saddiq turut menegaskan pendirian Armada untuk tidak bekerjasama dengan individu yang terpalit dengan skandal rasuah begitu juga yang sedang dalam perbicaraan di mahkamah.

Keputusan perbincangan ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini tidak boleh mewakili parti selagi masih tidak mendapat mandat kebenaran keseluruhan ahli Majlis Pimpinan Parti (MPT), lapor Malaysia Gazette.

Justeru Armada Bersatu yang merupakan sayap pemuda parti itu tetap berpegang teguh kepada keputusan mesyuarat pada 24 Februari lalu untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.

“Armada  akan terus mendokong amanat dan mandat rakyat yang telah diberikan pada PRU-14. Berikan sepenuh kepercayaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi Bersatu,” kata Naib Ketua Armada Bersatu, Aizat Roslan dalam kenyataan di sini.

Beliau turut menegaskan pendirian Armada untuk tidak bekerjasama dengan individu yang terpalit dengan skandal rasuah begitu juga yang sedang dalam perbicaraan di mahkamah.

“Bersatu akan tetus menjadi parti Melayu yg bermaruah demi agama bangsa dan negara,” katanya.

Pagi tadi ahli-ahli Parlimen Bersatu bermesyuarat dan turut dihadiri pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Satu kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut yang mengumumkan pencalonan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 sekaligus menyingkirkan nama Dr Mahathir.

Turut mencalonkan Muhyiddin adalah semua ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pas.

Pakatan Harapan pula mencalonkan nama presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke jawatan tersebut untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.