SD Umno Melaka sudah lengkap

Mengulas berkenaan kerjasama di antara UMNO dan parti lain sepertimana yang dilaksanakan di peringkat pusat, ujar Ab Rauf, UMNO Melaka sentiasa membuka pintu kerjasama bagi mentadbir negeri tersebut.

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjelaskan perakuan bersumpah (SD) UMNO Melaka sudah lengkap dan akan dipersembahkan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dalam masa terdekat, lapor Astro Awani.

Jelasnya, dengan jumlah SD itu beliau yakin UMNO boleh menubuhkan kerajaan di negeri itu.

“Tunggu dan lihat, yang pastinya kita tidak mahu seperti negeri lain yang telah berubah kepada pemerintahan kerajaan perikatan nasional.

“Perakuan Bersumpah (SD) UMNO ketika ini sudah lengkap menunggu masa yang sesuai,” jelas Ab Rauf.

Mengulas berkenaan kerjasama di antara UMNO dan parti lain sepertimana yang dilaksanakan di peringkat pusat, ujar Ab Rauf, UMNO Melaka sentiasa membuka pintu kerjasama bagi mentadbir negeri tersebut.

Ditanya sama ada terdapat nama calon Ketua Menteri Melaka yang baharu turut dibincangkan di dalam mesyuarat itu, Ab Rauf berkata kesemua 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) semenangnya layak bagi jawatan itu.

Bagaimanapun, beliau akan bertemu bersama pucuk pimpinan pusat bagi menentukan calon yang terbaik untuk diangkat sebagai Ketua Menteri jika perubahan pemerintahan negeri itu berlaku.

Dalam sidang media yang sama, Ab Rauf turut menyangkal kenyataan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari yang mengatakan bahawa pentadbiran negeri itu status quo di bawah Pakatan Harapan.

“Saya mengatakan Ketua Menteri sekarang (Adly Zahari) umpama badan berjasad tetapi tiada roh.

“Dia kata dia kuat tapi rohnya hilang. Saya menyangkal sepenuhnya, buktikan juga kalau dia ada SD yang kuat untuk teruskan pentadbiran Pakatan Harapan,” jelas Ab Rauf

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di kediamannya di Masjid Tanah pada Jumaat malam.

Hadir sama dalam mesyuarat itu, ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Ir Idris Haron serta semua peringkat pimpinan UMNO negeri.