‘Awan gelap’ sudah berlalu – Zahid

Bercakap kepada pemberita di luar Istana Negara selepas Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan perdana menteri kelapan, Zahid mengesahkan komitmen BN untuk membantu dan menyokong dasar perdana menteri baru itu.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyifatkan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri baru menandakan “awan gelap” sudah berlalu, lapor Malaysiakini.

Bercakap kepada pemberita di luar Istana Negara selepas Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan perdana menteri kelapan, Zahid mengesahkan komitmen BN untuk membantu dan menyokong dasar perdana menteri baru itu.

“Episod awan hitam sudah berlalu dan langit kembali cerah.

“Kita akan membantu sedaya upaya bagi memastikan rakyat sentiasa diutamakan, dan dibela semula. Bantuan terhadap rakyat harus dikembalikan semula,” katanya ketika ditemui pemberita di pintu masuk 2 Istana Negara.Iklan

Berikutan kejatuhan kerajaan PH minggu lalu, Malaysia menghadapi kemelut politik di antara Presiden PKR Anwar Ibrahim, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Kesemua mereka mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menyandang jawatan perdana menteri.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akhirnya memutuskan Muhyiddin sebagai perdana menteri yang mempunyai sokongan majoriti.

Meskipun usaha yang terbaik telah dipamerkan oleh Mahathir dan Anwar, bersama-sama dengan ahli parlimen PH yang pada pagi ini mendakwa mempunyai 114 nama, Muhyiddin akhirnya  mengangkat sumpah pada jam 10.33 pagi ini.

Krisis politik itu tercetus apabila Bersatu, yang diketuai Muhyiddin dan anggota parlimen PKR yang diketuai oleh Mohamed Azmin Ali umum keluar dari PH dan membentuk satu pakatan baru bersama Umno dan PAS.

Ini menyebabkan Mahathir meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu dan perdana menteri sehingga mengakibatkan kabinet dibubarkan.