Kes mahkamah pemimpin Umno bukan isu besar bagi Pas

“Kalau nak dituduh pemimpin yang ada ni terpalit dengan pelbagai masalah, pemimpin terdahulu pun (Pakatan Harapan) ada juga masalah dan perbicaraan boleh dihentikan serta-merta daripada pihak mahkamah, terlepas begitu sahaja,” ujar Hadi.

Sesi perbicaraan yang melibatkan beberapa pemimpin UMNO bukan menjadi hal yang lebih penting berbanding usaha menyelamatkan negara, lapor Astro Awani.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada Ahad.

“Selamatkan negara lebih penting, daripada kemelut krisis politik yang berlaku.

“Kalau nak dituduh pemimpin yang ada ni terpalit dengan pelbagai masalah, pemimpin terdahulu pun (Pakatan Harapan) ada juga masalah dan perbicaraan boleh dihentikan serta-merta daripada pihak mahkamah, terlepas begitu sahaja,” ujar Hadi.

Setelah hampir 50 tahun tidak mempunyai kedudukan sebagai kerajaan pusat, Pas buat pertama kali memberi sidang media sejak tahun 1974 bagi membincangkan perkembangan semasa politik negara.

Abdul Hadi turut menzahirkan sokongan kepimpinan Pas sepenuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.

Pada masa sama, parti tersebut menaruh harapan agar kerajaan mengutamakan agenda dalam memulihkan ekonomi.

“Harapan kami adalah agar kerajaan dapat merapatkan jurang kaya dan miskin, meningkatkan tahap pendidikan, dan pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak”

“Seterusnya menjaga prinsip Federalisme dengan negeri-negeri,” jelasnya.

Sementara itu, Hadi memberitahu bahawa sesi perbincangan mengenai Kabinet masih lagi belum dilakukan.

“Kita selesaikan untuk tubuh kerajaan kita dahulu, dan perbincangan kabinet itu hanya akan dilakukan dalam masa terdekat,” jelasnya dalam sidang media itu.

Terdahulu, Pas meminta semua rakyat Malaysia menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri baharu.

Hadi Awang turut berkata rakyat juga perlu memperkukuhkan muafakat dan perpaduan kaum yang menjadi tonggak kepada kemakmuran negara.