Adly tidak lepaskan jawatan KM, diberhentikan atas arahan pihak atasan

Sementara itu, Adly berkata, Pakatan Harapan (PH) Melaka akan mengadakan Jelajah Rakyat di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi PH sebelum ini iaitu Rembia, Paya Rumput, Telok Mas dan Pengkalan Batu, berikutan tindakan ADUN kerusi terbabit kini menyokong Perikatan Nasional.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari menegaskan bahawa beliau tidak melepaskan jawatannya meskipun tidak mendapat majoriti sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebaliknya ‘diberhentikan’ pada jam 4 petang Isnin atas arahan pihak atasan, lapor Astro Awani.

“Semalam saya memang bertemu dengan TYT (Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob) dan untuk makluman semua, saya telah dimaklumkan tempoh perkhidmatan saya telah ‘ditamatkan’ bermula 4 petang semalam atas arahan pihak atasan.

“Itu istilah yang diberikan kepada saya, jadi saya akan merujuk balik di mana ruang sedia ada… buat masa ini saya tidak meletakkan jawatan,” katanya.

Malah jelas Adly, pejabatnya telah dikemaskan pada petang semalam tanpa pengetahuannya.

Sementara itu, Adly berkata, Pakatan Harapan (PH) Melaka akan mengadakan Jelajah Rakyat di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi PH sebelum ini iaitu Rembia, Paya Rumput, Telok Mas dan Pengkalan Batu, berikutan tindakan ADUN kerusi terbabit kini menyokong Perikatan Nasional.

“Akan ada satu jelajah di Paya Rumput akan dilakukan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan kita akan teruskan lagi jelajah dalam tempoh terdekat. Ini kerana rakyat perlu dimaklumkan tentang apa yang berlaku, kenapa ia berlaku supaya mereka faham sebab kerajaan PH tidak dapat dipertahankan.

“Kita beri tumpuan di empat kawasan, kita akan pergi ke Paya Rumput, Rembia, Telok Mas dan Pengkalan Batu. Itu yang awal , selepas itu kita akan pergi ke kawasan seterusnya termasuk di Bukit Katil,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat AMANAH Negeri di Bukit Katil pada Selasa.

Ujarnya, selama setahun lapan bulan mentadbir Melaka, PH telah berjaya melaksanakan 73 peratus janji manifesto di negeri itu.

Pada Isnin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dalam satu sidang media memaklumkan bahawa Perikatan Nasional telah mendapat 17 sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekaligus menyebabkan kerajaan PH di negeri itu terbubar.