Pas tidak dapat laksanakan manifesto berkaitan PTPTN

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Pas menjanjikan manifesto berkenaan sekiranya menjadi kerajaan Pusat secara bersendirian.

Pas tidak akan dapat untuk melaksanakan manifesto yang dijanjikan ketika Pilih Raya Umum (PRU) lalu iaitu mengecualikan pembayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memandangkan parti berkenaan hanya sebahagian daripada kerajaan dalam Perikatan Nasional, lapor Sinar Harian.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Pas menjanjikan manifesto berkenaan sekiranya menjadi kerajaan Pusat secara bersendirian.

“Ini (Perikatan Nasional) bukan kerajaan Pas. Itu kena ingat, manifesto itu (mengatakan) kalau kita kerajaan, tapi sekarang ini kita kerajaan Perikatan Nasional.

“Kita hanya sebahagian. Berbeza dengan PH (Pakatan Harapan) dulu. Kalau kita kerajaan, kita menguasai kerusi dan sebagainya, ia mungkin berbeza,” katanya kepada pemberita di sini hari ini sebagai mengulas mengenai manifesto Pas sebagaimana dijanjikan ketika PRU lalu.

Sementara itu, Pas berharap kerajaan Perikatan Nasional boleh menumpukan perhatian kepada beberapa perkara asas yang berlaku sejak kebelakangan ini terutamanya masalah ekonomi.

Lagi menyentuh mengenai situasi politik Mohd Amar berkata, Pas berharap beberapa negeri lain seperti Perak, Kedah dan Negeri Sembilan akan mengalami perubahan.

“Tiada keadaan yang jelas lagi. Bak kata orang, nasi sedang mendidih, sama ada masak atau tidak, belum tentu lagi,” katanya berkias.