Adun PKR keluar parti, PN Johor cukup majoriti

Chong mengumumkan perkara itu dalam sidang media bersama Menteri Besar Hasni Mohammad serta Adun Muafakat Nasional.

Perikatan Nasional (PN) akhirnya mempunyai majoriti cukup dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, lapor Malaysiakini.

Isu susulan wakil rakyat PKR bagi kerusi Pemanis Dr Chong Fat Full keluar parti dan menjadi wakil bebas mesra PN.

Chong mengumumkan perkara itu dalam sidang media bersama Menteri Besar Hasni Mohammad serta Adun Muafakat Nasional.

“Saya sudah buat rundingan dengan penyokong saya, pengundi saya, keluarga, kawan-kawan, sudah fikir. Bagi saya (bila) cukup matang baru buat (keputusan).

“Pasukan MB cukup sabar dengan saya, kerana mereka tahu susah bagi saya sebagai ahli PKR, semangat PKR, dah lama dengan PKR untuk buat keputusan ini,” katanya.

Chong menafikan ditawarkan sesuatu untuk berbuat demikian.

Hasni pula berkata keputusan itu dibuat atas pertimbangan oleh Chong sendiri.

Istana Johor pada 27 Februari mengumumkan gabungan baru akan mengambil alih kerajaan negeri selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menemu bual 54 daripada 56 Adun.

Sultan mendapati 28 daripada mereka menyokong gabungan baru Bersatu-BN-PAS berbanding 26 yang menyokong Pakatan Harapan.

Dua Adun yang tidak hadir ialah Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang turut mempunyai sesi temu bual dengan Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin Bersatu Mazlan Bujang yang masih memerlukan masa untuk membuat pendiriannya.

Chong daripada awal lagi dipercayai telah menyokong PN.

Bagaimanapun, Khamis lepas, Chong berkata masih bersama PH dan hadir dalam sidang media gabungan itu yang mengumumkan mempunyai sokongan 28 Adun.

Sehari selepas itu, Hasni mengangkat sumpah menteri besar. Mazlan bersamanya dalam sidang media mengumumkan pembentukan kerajaan baru.

Dengan sokongan Chong dan Mazlan, PN mempunyai 29 kerusi DUN manakala PH pula mempunyai 27 kerusi.