Anwar sahkan dakwaan ditawar jawatan PM jika terima Umno

Pengesahan itu juga dilihat selari dengan kenyataan Anwar dalam satu klip video yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengesahkan dakwaan yang mengatakan beliau ditawarkan jawatan perdana menteri sebagai pertukaran untuk menerima Umno, lapor Malaysiakini.

“Ya,” tulisnya dalam ulang ciap, laporan yang memetik Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai perkara itu.

Pengesahan itu juga dilihat selari dengan kenyataan Anwar dalam satu klip video yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

“Kita diberi peluang untuk bersekongkol dengan kelompok lama yang telah merosakkan negara kita. Kita memilih untuk kekal dengan prinsip. Yang meninggalkan kita, mengkhianati amanah perjuangan kita,” katanya dalam  video berkenaan.

Dalam siaran Facebook pagi tadi, Nik Nazmi mendakwa tawaran kepada Anwar itu dibuat sebelum krisis politik minggu lalu.

“(Anwar) mendedahkan sebelum krisis ada tawaran kepadanya untuk menjadi perdana menteri dengan syarat dia meninggalkan sekutu politik kita di Pakatan Harapan dan menerima pemimpin dari Umno en blok, termasuk mereka yang menghadapi tuduhan rasuah.

“Anwar enggan mengkhianati mandat rakyat semata-mata demi mendapatkan jawatan perdana menteri,” tulisnya.

Nik Nazmi tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkara itu.

Ketika ditanya pada sidang media hari ini, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, bagaimanapun, berkata beliau tidak mengetahui perkara itu.

“Bila (tawaran dibuat kepada Anwar)? Saya tidak dapat memberi komen mengenai spekulasi, khabar angin. Jika ada fakta, saya akan ulas. Tidak dalam pengetahuan saya,” kata Annuar.

Minggu lepas, seteru Anwar, Mohamed Azmin Ali dan kumpulannya meninggalkan PKR untuk menumbangkan PH serta menubuhkan kerajaan baru bersama Bersatu, BN, dan PAS.

Gerakan yang dikenali sebagai ‘Langkah Sheraton’ itu pada mulanya digerakkan dengan alasan untuk menghalang Anwar menggesa Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan.

Bagaimanapun, gerakan itu telah menyebabkan Mahathir meletakkan jawatan kerana enggan bekerjasama dengan Umno.

Anwar kemudian memberi sokongan kepada Mahathir, namun tidak sempat untuk menghalang Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri bagi menerajui gabungan kerajaan Perikatan Nasional yang terdiri daripada Bersatu, Umno, dan PAS – dengan sokongan GPS.

Sementara itu, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Yang di-Pertuan Agong telah mengarahkan Muhyiddin membentuk kabinet yang inklusif.

Bagaimanapun, satu sumber berkata MCA masih membahaskan sama ada mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan kerana takut dianggap mengambil alih kuasa melalui pintu belakang.

MCA mempunyai dua Ahli Parlimen, presiden parti Wee Ka Siong (Air Hitam) dan Wee Jeck Seng (Tanjung Piai). Kedua-dua parlimen itu di Johor.