Dr Afif letak jawatan Exco Pulau Pinang

Menurut Ketua Menteri Pula Pinang, Chow Kon Yeow, Afif telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada beliau dalam pertemuan pagi tadi.

Exco Pulau Pinang , Dr Afif Bahardin meletakkan jawatan sebagai Exco Pulau Pinang berkuatkuasa hari ini, lapor Astro Awani.

Menurut Ketua Menteri Pula Pinang, Chow Kon Yeow, Afif telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada beliau dalam pertemuan pagi tadi.

Kon Yeow berkata, Afif bagaimanapun, akan kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya.

Pengumuman itu dibuat Ketua Menteri dalam sidang media di pejabatnya di Komtar, di sini sebentar tadi.

Dalam kerajaan negeri Pulau Pinang, Afif memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar.

Sebelum ini, Afif dilaporkan akan membuat pengumuman khas berhubung karier dan masa depan politiknya pada petang Rabu.

Sidang media yang bertajuk Solidariti Bersama Dr Afif Bahardin itu akan diadakan di kediamannya di Taman Pauh Jaya, Seberang Jaya pada jam 3.30 petang ini.

Jemputan sidang media khas itu dibuat pembantu khasnya melalui kumpulan Whatsapp Team Media Keadilan PP pada jam 12.10 tengah hari tadi.

Pada Selasa, Afif yang juga bekas Timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK) memaklumkan, beliau akan kekal dalam parti dan menunggu  keputusan kepimpinan PKR pusat untuk menentukan kedudukannya di dalam parti itu.

Afif merupakan antara penyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang pada minggu lalu yang terlibat dalam gerakan penubuhan kerajaan baharu.

Dikenali sekarang sebagai Langkah Sheraton, Azmin bersama 10 Ahli Parlimen lain meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu, BN dan PAS menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.