KPDNHEP Pahang rampas cermin mata tiruan bernilai RM95,120

Modus operandi kedua-kedua premis adalah menjual cermin mata yang disyaki tiruan pada harga barang asli dan mendapat keuntungan berlipat kali ganda dalam masa yang sama ramai pengguna telah tertipu.

dav

Sebanyak 316 unit cermin mata menggunakan cap dagangan tiruan dengan nilai RM95,120 dirampas sepasukan penguatkuasa dari Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Temerloh.

Serbuan ke atas dua premis berasingan di sebuah kompleks membeli-belah di daerah ini dilakukan pada Selasa lalu sekitar jam 11.30 pagi.

Ekoran rampasan itu, sepasang suami isteri masing-masing berusia 34 dan 28 tahun telah ditahan kerana dipercayai ada mempunyai dalam milikannya bagi maksud perdagangan iaitu memakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar pada barang kes cermin mata berkenaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali, berkata, mahkamah telah mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini ke atas kedua-dua suspek bagi tujuan siasatan lanjut.

Ahmad Fitri (dua,kanan) bercakap pada sidang media di Pejabat KPDNHEP Temerloh, hari ini.

Menurutnya, modus operandi kedua-kedua premis adalah menjual cermin mata yang disyaki tiruan pada harga barang asli dan mendapat keuntungan berlipat kali ganda dalam masa yang sama ramai pengguna telah tertipu.

Katanya, KPDNHEP akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan tiada pihak atau syarikat yang melanggar undang-undang dan serta peraturan dikuatkuasakan kementerian.

“Mengikut pemantauan dan hasil siasatan awal kita bersama pihak wakil cap dagang harga yang dijual adalah satu unit ni dalam RM450 ringgit. Sedangkan barang ini tidak disyaki tidak original tetapi dijual pada harga original bermakna pengguna dua kali tertipu lah.

“Pertama dari segi kualiti yang kedua dari segi harga. So ini kita akan siasat lebih lanjut lagi lah dengan kerjasama daripada wakil cap dagang,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDNHEP Temerloh, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan dan tidak melebihi RM15,000 setiap barangan bagi pertubuhan perbadanan.

Jelasnya lagi, sepanjang tahun 2020 KPDNHEP Temerloh telah melakukan pemeriksaan melibatkan 2175 premis mengesan 83 kes daripada pelbagai akta dengan nilai rampasan bernilai RM118,217.00 dan kompoun dipungut sebanyak RM8,300 atas pelbagai kesalahan.