PKR Selangor ikrar setia dengan parti, presiden

Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya juga berjanji untuk terus setia dan bekerjasama dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) demi kesejahteraan rakyat Selangor.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berikrar untuk terus setia dengan idealisme perjuangan parti di bawah pimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lapor Sinar Harian.

Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya juga berjanji untuk terus setia dan bekerjasama dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) demi kesejahteraan rakyat Selangor.

“Di saat rakyat diselubungi kekeliruan dan ketidaktentuan, pimpinan PH Selangor memegang teguh tali persefahaman demi kepentingan mengangkat martabat rakyat.

“Majlis Pimpinan Negeri Selangor menyeru semua anggota PKR terutama di Selangor mengukuhkan tekad dan membulatkan muafakat untuk memenuhi mandat rakyat negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, PKR selaku tonggak PH di Selangor akan terus teguh bersama DAP dan Amanah demi melaksana amanah yang diberikan rakyat.

“Saya di samping 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari PKR memberi sepenuh sokongan untuk bekerjasama dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Negeri Selangor.

“PH tidak akan mensia-siakan kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh rakyat Selangor pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) lalu,” katanya.

Terdahulu, Amirudin pada majlis solat hajat dan doa selamat di kediaman rasminya di Seksyen 7 di sini Ahad lalu meminta semua pihak untuk bermuhasabah atas apa yang berlaku sehingga mengakibatkan kerajaan PH runtuh.

Malah, Anwar pada program berasingan turut mengingatkan penyokong PKR untuk berakhlak dan kawal disiplin susulan insiden kekecohan melibatkan Naib Presiden, Tian Chua diserang segelintir penyokong parti di luar bangunan PKR Tropicana, Ahad lalu.