BN Melaka batal kerjasama dengan Adun Bersatu

Bagaimanapun BN masih selamat dengan sokongan 15 Adun, termasuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Muhammad Jailani Khamis (Rembia) yang melompat daripada DAP dan PKR.

BN Melaka membatalkan kerjasama dengan dua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu – Mohd Rafiq Naizamohidee (Paya Rumput) dan Noor Effandi Ahmad (Teluk Mas), lapor Malaysiakini.

Bagaimanapun BN masih selamat dengan sokongan 15 Adun, termasuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Muhammad Jailani Khamis (Rembia) yang melompat daripada DAP dan PKR.

BN masih cukup untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Bercakap pada sidang media hari ini, ketua BN Melaka Abd Rauf Yusoh berkata mereka telah menjemput Rafiq dan Noor Effandi untuk bertemu dan membincangkan kerjasama baru susulan pengumuman keluar Bersatu dari Pakatan Harapan minggu lepas.

Bagaimanapun, Rauf menjelaskan sehingga hari ini, mereka gagal bertemu dengan wakil Bersatu terbabit.

“(Ini) menyebabkan BN Melaka telah hilang kepercayaan untuk menjalankan kerjasama ini,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan PH tumbang minggu lalu susulan tindakan Bersatu meninggalkan gabungan itu dan kemelut politik yang dihadapi sehingga menyebabkan pertukaran jawatan perdana menteri.

Sementara itu, Rauf turut menambah bahawa gabungan terdahulu bersama 13 Adun dan Rafiq serta Noor Effandi tidak lagi berkuat kuasa serta-merta.

“Kita menghormati gabungan peringkat ini dan kita memaklumkan bahawa kami hanya memisahkan gabungan di antara dua Adun ini tanpa memisahkan gabungan dengan parti Bersatu.

“Oleh yang demikian, gabungan 13 Adun BN membentuk kerjasama dengan dua Adun yang lain akan membentuk satu majoriti 15 orang kepada Tuan Yang Dipertua dalam kadar segera,” katanya.