Lelaki berhadapan enam pertuduhan lakukan amang seksual terhadap anak tiri

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas empat lagi pertuduhan kesalahan yang sama.

Seorang lelaki dijatuhi hukuman 6 tahun penjara selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual ke atas dua anak tirinya masing-masing berusia 8 dan 10 tahun.

Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen 1 Temerloh, Azuar Che Yusof mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 di hadapan Timbalan Pendakwa Raya, Ain Fadila Md Ali.

Hakim turut memerintahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat hukuman.

Bagaimanapun, tertuduh, Saperi Hassan, 56 tahun, mengaku tidak bersalah atas empat lagi pertuduhan kesalahan yang sama.

Tertuduh dibawa polis selepas perbicaraan.

Mengambil kira hubungan tertuduh dengan mangsa, pendakwa raya tidak menawarkan jaminan bagi empat kes berkenaan kerana tertuduh merupakan bapa tiri mangsa.

Ia dibuat atas dasar tertuduh sepatutnya melindungi dan menjaga mangsa, bukan membinasakan mangsa dengan melakukan perbuatan keji.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kejadian berlaku berasingan pada bulan Disember 2019 dan Februari tahun ini di sebuah rumah di Taman Pulai Idaman, di sini.

Tertuduh didakwa telah menggosokkan kemaluannya pada peha dan kemaluan mangsa.

Ibu mangsa yang menyedari perbuatan terkutuk tertuduh itu pada 26 Februari lalu telah membuat laporan di Balai Polis Temerloh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta disebat.

Hakim menetapkan sebutan semula kes pada 20 April depan.