Selangor singkir wakil Bersatu di semua peringkat

Untuk rekod PH kekal sebagai kerajaan negeri dengan 42 anggota Adun berbanding PN dengan 13 kerusi.

Susulan pembentukan kerajaan persekutuan Perikatan Nasional (PN), kesemua lima anggota parlimen Bersatu dan dua bekas ahli PKR dikeluarkan daripada kerajaan Selangor, lapor Malaysiakini.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata peruntukan bagi tujuh wakil rakyat itu juga akan dibekukan.

Tambahnya penyingkiran juga akan dilanjutkan kepada wakil-wakil Bersatu di semua peringkat kerajaan negeri termasuk exco, ketua kampung, pihak berkuasa tempatan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor.

“(Mereka) akan dikeluarkan secara berperingkat mulai hari ini.

“Pada masa yang sama, kami juga akan membekukan peruntukan mereka. Ini termasuk dua wakil bebas yang sebelum ini dipecat daripada parti (PKR), “katanya.

“Dan dalam pada masa yang sama kita juga turut membekukan semua peruntukan terlibat dengan mereka termasuk dua orang calon bebas yang telah dipecat dari parti di dalam ahli dewan ini,” katanya.

Kedua calon bebas yang dimaksudkan Amirudin adalah bekas menteri besar Azmin Ali dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Hilman Idham.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di kediaman rasminya di Shah Alam petang tadi.

Turut hadir penyokong Pakatan Harapan (PH) dari PKR, DAP dan Amanah.

Bagaimanapun, terdapat pimpinan yang didapati tidak hadir pada sidang media tersebut dan antaranya adalah Idris Ahmad (Ijok) PKR, Rodziah Ismail (Batu Tiga) dan Shatiri Mansor (Kota Damansara).

Malaysiakini telah menghubungi mereka untuk mendapat komen.

Untuk rekod PH kekal sebagai kerajaan negeri dengan 42 anggota Adun berbanding PN dengan 13 kerusi.