Supol Dr M dalang utama perjumpaan Hotel Sheraton

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata beliau sendiri turut diminta menghadiri perjumpaan itu yang kononnya diarahkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendedahkan Setiausaha Politik bekas Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md Arip, mendalangi perjumpaan dihadiri ramai pemimpin parti politik di Hotel Sheraton pada 23 Februari lalu, lapor BH Online.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata beliau sendiri turut diminta menghadiri perjumpaan itu yang kononnya diarahkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Nama Tun Mahathir dipetik supaya pimpinan BERSATU menghadiri perjumpaan di hotel berkenaan, namun beliau kemudiannya menegaskan tidak tahu mengenai perjumpaan itu.

“Pengkhianat sebenar kepada apa yang berlaku adalah Muhammad Zahid kerana dia memetik nama Tun banyak kali supaya Ahli Parlimen BERSATU menghadiri perjumpaan malam itu,” katanya ketika berucap pada Program Penerangan BERSATU Kedah di Sri Mentaloon di sini, malam tadi.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, berkata sebelum itu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sudah beberapa kali mengadakan perjumpaan bersama Dr Mahathir dan mengajak BERSATU serta parti itu bergabung.

Namun, katanya, Dr Mahathir tidak bersetuju menerima UMNO secara keseluruhan dan hanya bersedia menerima pemimpin UMNO secara individu.

“Mereka ini sudah mempunyai taktik sekiranya Tun Mahathir bersetuju bekerjasama, mereka pasti mengugut BERSATU kerana UMNO, MCA dan MIC memiliki 42 kerusi Parlimen.

“Lihatlah sekarang, Perak dan Johor sudah dikuasai UMNO, sebab itu kita tak boleh bekerjasama kerana kita ada maruah. Saya juga harap semua orang akan setia dengan Tun Mahathir kerana beliau yang menubuhkan parti ini,” katanya.