Kuantan optimis banteras pesalah dadah kali ketiga

KUANTAN – Sejumlah 38 kes membabitkan Seksyen 39 (1) C Akta Dadah Berbahaya 1952 berjaya didakwa di mahkamah dalam tempoh Januari sehingga Februari, tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Mohamad Noor Yusof Ali berkata, daripada jumlah itu sebanyak 22 tertuduh mengaku bersalah manakala selebihnya masih dalam perbicaraan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) optimis dan memberi penekanan membanteras pesalah dadah yang melakukan kesalahan berulang di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kita mempergiatkan usaha menerusi Ops Tapis Daerah Kuantan dan penguatkuasaan tegas membabitkan Jawatankuasa Tindakan Daerah yang melibatkan 14 agensi penguatkuasa lain termasuk PDRM dan juga Ops Ice Breaker,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Noor berkata, IPD Kuantan telah melaksanakan Ops Ice Breaker 3.0 pada 28 dan 29 Februari lalu melibatkan dua pegawai dan 12 anggota.

“Tumpuan kita ke kawasan Kampung Tengah, Jalan Pasar, Bukit Ubi, Peramu, Jalan Abdul aziz,  Kampung Belukar dan Pot Felda Panching.

“Hasil operasi dan pemeriksaan terhadap 38 individu, polis berjaya menangkap 26 orang positif dadah. Daripada 26 itu, seorang tangkapan membabitkan 39B Akta Dadah Berbahaya 1951 yang merupakan seorang perempuan Melayu; enam tangkapan warga Malaysia dan dua Thailand di bawah Seksyen 12 (2) Akta sama; 17 tangkapan
Seksyen 15 (1) Akta sama dan satu tangkapan di bawah Sekyen 3 (1) Akta sama,” katanya.

Mohamad Noor berkata, hasil operasi tersebut polis telah merampas 105.8 gram syabu dan 480 biji pil erimin 5.

Menurutnya, siasatan penuh mengenai rekod jenayah lampau setiap tangkapan, sedang dibuat.

Tamat