Sabah kini blok pembangkang, tidak sokong Perikatan Nasional

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, kerjasama dengan Kerajaan Pusat akan terus dijalankan demi kepentingan rakyat dan negeri ini.

Sabah kekal dengan pendirian tidak memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional, lapor Astro Awani.

Selepas enam hari perubahan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah hari ini ‘membuka mulut’ menyatakan bahawa mereka kini adalah blok pembangkang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya tidak akan memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional.

“Setelah hampir 45 minit (bertemu dengan pemimpin Warisan-UPKO-DAP-PKR) kita telah nyatakan bahawa kedudukan kita dan pendirian kita di peringkat negeri Sabah ialah kita akan terus beri sokongan kepada Tun M.

“Kerjasama antara kerajaan dan kerajaan ini memang sedia kita amalkan manakala kerjasama politik cukup jelas bagi kita. Kita beri sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Sabah di Pejabat Pembangunan Negeri Sabah di sini.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, kerjasama dengan Kerajaan Pusat akan terus dijalankan demi kepentingan rakyat dan negeri ini.

Tambahnya, ia termasuk kerjasama tentang rundingan hak-hak Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Tidak semestinya bila pembangkang kita kena faham kita kena fikir dari segi negara Malaysia.

“Malaysia bukan hanya terbentuk di Semenanjung sahaja tetapi juga merangkumi Sabah dan Sarawak. Jadi perlu ada perundingan tentang hak-hak ini,” katanya.

Perkara itu dinyatakan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan 14 Ahli Parlimen dari blok kerajaan negeri Sabah pada sesi taklimat khas di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini petang ini.