Harap kerajaan baru tidak mengecewakan, kata bapa arwah Adib

Mohd Kassim Abdul Hamid berkata, berkata dia tidak akan berpuas hati selagi pelaku terbabit tidak ditangkap.

Bapa kepada arwah Muhammad Adib Mohd Kassim berharap pelantikan Idrus Harus sebagai peguam negara yang baru dapat membela kematian anggota bomba terbabit selepas usaha itu sebelum ini dianggap gagal, lapor Malaysiakini.

Mohd Kassim Abdul Hamid berkata, berkata dia tidak akan berpuas hati selagi pelaku terbabit tidak ditangkap.

Justeru katanya kerajaan baru ini tidak akan mengecewakannya seperti sebelum ini.

“Selepas Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian arwah adalah akibat perbuatan jenayah pada 27 Sept lalu, kami menunggu tindakan lanjut tapi sampai sekarang tiada sebarang perkembangan.

“Ia sepi begitu saja, harap polis bersungguh-sungguh menjalankan tugas menangkap suspek.

“Jangan buat seperti yang lepas, apabila dah tukar kerajaan dan peguam negara baru ini, biarlah ada jalan baru juga untuk keadilan,” katanya lapor BH Online.

Pada 27 Sept, Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan bahawa Adib meninggal dunia akibat perbuatan jenayah yang dilakukan oleh dua atau lebih penyerang yang tidak dikenali semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya kira-kira dua tahun lalu.

Adib cedera parah ketika rusuhan pada 26 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis 2018, selepas mengalami kecederaan.

Meskipun tidak menyebut secara khusus mengenai mana-mana pihak, namun Mohd Kassim, 65, mendakwa pentadbiran sebelum ini dilihat seolah-olah didakwanya ingin menyembunyikan kebenaran.

Katanya, kini dia enggan mendengar sebarang alasan yang seperti ingin menutup kes tersebut.

“Sebagai ibu bapa, saya dan isteri Asma Aziz, 53, tidak putus berdoa supaya kes arwah anak saya mendapat pembelaan sewajarnya… Saya yakin seluruh rakyat Malaysia juga mengharapkan kebenaran.

“Cuma ‘pemerintah’ sebelum ini cuba menutup kebenaran, rakyat Malaysia tahu perjalanan kes ini.

“Saya berterima kasih kepada semua yang membantu terutama kepada peguam yang memberikan perkhidmatan percuma kepada keluarga saya,” katanya.