Netizen tolak Zahid anggotai kabinet Muhyiddin

Mereka juga menyuarakan kebimbangan sekiranya Zahid menganggotai kabinet, maka ia akan memberikan imej buruk kepada kerajaan PN.

Rata-rata netizen meluahkan rasa tidak selesa dengan sokongan yang disuarakan oleh pimpinan Umno di beberapa negeri yang mahukan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberi ruang sertai kabinet Perikatan Nasional (PN).

Mereka juga menyuarakan kebimbangan sekiranya Zahid menganggotai kabinet, maka ia akan memberikan imej buruk kepada kerajaan PN.

Seorang netizen, Mohd Ali Ishak melalui komennya berkata, MT Umno sudah hilang kepercayaan dan melantik mereka disifatkan sebagai ‘mencari pasal’.

Pemilik akaun Facebook Rasdi Abd Ghani pula berasa sakit hati dengan sokongan yang diberikan kepada Zahid dan meminta Umno melihat ke belakang sebab apa parti itu dibenci.

Bagi Ating Bantin pula, isu terbaru itu adalah permulaan tekanan kepada Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut laporan beberapa portal yang memetik sumber, kabinet baru PN akan diumumkan pada Isnin atau Selasa ini.

Muhyiddin sebelum ini juga dalam ucapannya akan melantik ahli kabinet yang bersih dan berintegriti.

Ucapannya itu melahirkan rasa tidak senang di kalangan pimpinan Umno selain memberikan imej buruk bagi pimpinan yang tidak dipilih.

Memetik laporan Malaysiakini, beberapa pemimpin Umno negeri menyarankan agar presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi, diberi tempat dalam kabinet ketika ia masih belum ditentukan selepas lebih seminggu Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Hari ini Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, menyuarakan harapan itu dalam satu kenyataan media.

Kata Bung Moktar Umno Sabah menyokong penuh Ahmad Zahid untuk ahli parlimen Bagan Datuk itu diberi ruang menyertai kabinet.

“Perdana menteri harus berpegang dengan pendirian bahawa seseorang itu masih belum bersalah selagi ia tidak dijatuhkan hukuman.

“Umno sabah berpendapat Muhyiddin harus tidak dilihat double standard di antara presiden Umno dan pemimpin lain.

“Jika Ahmad Zahid (kemudian) didapati bersalah, tidak ada masalah untuk beliau meletak jawatan,” katanya.

Untuk rekod Ahmad Zahid kini menghadapi 47 pertuduhan jenayah di mahkamah, dengan 12 daripadanya membabitkan kes pecah amanah dan 27 melibatkan pengubahan wang haram.

Lapan lagi kes melibatkan tuduhan rasuah.