Azam Baki dilantik Ketua Pesuruhjaya baru SPRM

Beliau menggantikan Latheefa Koya yang meletakkan jawatan pada 2 Mac lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dilantik menjadi ketua pesuruhjaya agensi itu, lapor Malaysiakini.

Beliau menggantikan Latheefa Koya yang meletakkan jawatan pada 2 Mac lalu.

Pelantikan itu berkuat kuasa hari ini, kata Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan.

“Selaras dengan subseksyen 5(1) Akta 694, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Azam Baki, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru berkuat kuasa mulai 9 Mac 2020,” kata JPM.

Azam, 57, memainkan peranan utama dalam siasatan SPRM berkaitan 1MDB dan mengetuai siasatan terhadap skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).