MP lompat parti tiada integriti, tak layak sertai kabinet – Puad

Azmin mengetuai sekumpulan MP PKR keluar parti dan menyokong Muhyiddin bersama anggota parlimen BN, PAS dan GPS untuk menguasai kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi menggesa bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali supaya mengikuti jejak Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan tidak mahu menyertai kabinet baru kerajaan Perikatan Nasional (PN), lapor Malaysiakini.

“Zahid sudah buat pengumuman, dia tidak mahu dilantik dalam kabinet baru Muhyiddin. Walaupun prinsipnya, seseorang itu tidak bersalah sebelum dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

“Zahid tahu kes beliau akan dijadikan isu. Justeru, bila Azmin mahu buat pengumuman sama.

“Ok Azmin, jangan fikir lama-lama. Umum sahaja yang kamu bersedia untuk tidak disenaraikan,” katanya pada suatu hantaran di media sosial malam ini.

Menjelaskan lanjut,  beliau berkata “Muhyiddin tidak boleh selektif dalam mempertahankan integriti.”

“Dia (Azmin) dikaitkan dengan video kontroversi di Sandakan. Anwar beritahu Zuraida (Kamaruddin) video itu tulin.

“Mereka yang melompat parti juga tidak ada integriti. Mereka tidak patut dilantik dalam kabinet baru Muhyiddin,” kata Puad (gambar, bawah).

Azmin mengetuai sekumpulan MP PKR keluar parti dan menyokong Muhyiddin bersama anggota parlimen BN, PAS dan GPS untuk menguasai kerajaan.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac lalu.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad tidak sehaluan dengan Muhyiddin kerana beliau bertegas Bersatu tidak patut bekerjasama dengan pemimpin Umno yang sedang dibicarakan di mahkamah atas tuduhan rasuah.

Muhyiddin telah berjanji untuk melantik pemimpin berintegriti ke dalam kabinet barunya yang dijangka diumumkan pada Selasa ini.

Sebelum ini, Azmin dikaitkan dengan video seks membabitkan bekas ketua AMK Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz (gambar, bawah).

Azmin berulang kali menafikan dakwaan itu, menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pada 22 Januari lalu berkata kes video atas ranjang yang dikaitkan dengan Azmin tidak ditutup sebaliknya akan dibuka jika polis mendapat sebarang bukti baru.

Beliau berkata pihaknya akan membiarkan kes tersebut seperti sekarang sehingga ada bukti baru dikemukakan.

Peguam Negara, kata Abdul Hamid tidak dapat meneruskan pendakwaan kerana tahap kejelasan video terbabit yang rendah.

Pada 9 Jan lalu Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan tiada pertuduhan akan dibuat ke atas mana-mana individu berhubung video intim terbabit kerana pakar forensik AS “gagal” mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana tahap resolusinya yang rendah.