Wakil rakyat ibarat pelacur jika boleh dijual beli

Ahli Parlimen Kota Raja itu menyelar mereka terbabit kerana telah mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang tidak sampai dua tahun memerintah kepada Perikatan Nasional (PN).

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengutuk mana-mana wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang khianat sehingga boleh dijual beli sebagai pelacur dan tidak mempunyai maruah, lapor Malaysia Dateline.

Ahli Parlimen Kota Raja itu menyelar mereka terbabit kerana telah mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang tidak sampai dua tahun memerintah kepada Perikatan Nasional (PN).

“Bila wakil rakyat boleh dijual beli, (mereka) macam pelacur! Tidak ada maruah! Tidak ada dignity. Boleh (sokong) parti ini, parti itu tanpa mengambil kira mandat rakyat.

“Apakah Malaysia mengamalkan politik pelacur? Pelacur pun terkejut sekarang ini. Kami (Pelacur) lebih bernilai harga.

“Wakil rakyat diniagakan dalam pasaran terbuka. Pembida tertinggi ambil orang ini. Apa ini?” tempelaknya dalam Jelajah Harapan Melaka di Pejabat PKR negeri di Durian Tunggal malam tadi.

Beliau menegaskan pengkhianatan pemimpin terbabit sebagai langsung tidak menghormati mandat diberikan rakyat pada PRU14 lalu.

“Kita semua tahu bukan senang PH untuk menang di Melaka. Menghabiskan tenaga dan duit, dengar ceramah tengah hujan, pilih PH, tiba-tiba dirampas (kemenangan) dengan mudah hanya percaturan wakil rakyat.

“Politik Malaysia sudah jadi di tahap teruk sekarang ini,” ujar bekas Menteri Pertahanan selama 22 bulan itu.

Sehubungan itu, Mohamad yang mesra dikenal sebagai Mat Sabu menyarankan agar bertanding pilihan raya akan datang bukan atas nama parti sebaliknya individu.

“Kalau begitu tidak payah pilihan raya. Biarlah pilih orang itu masuk ke sini, ke situ.

“Tidak payah bertanding atas nama parti. Biar akan datang bertanding atas nama individu.

“Azmin Ali bertanding sebagai individu bertanding di Gombak, tiada parti. Muhyiddin Yassin bertanding di Pagoh, tiada parti. Dia pergi seorang diri. Boleh atau tidak? Cubalah.

“Zuraida bertanding di Ampang, tiada parti. Bertandinglah,” cabar bekas Timbalan Presiden Pas itu.

Mohamad sekali lagi menegaskan wakil rakyat yang seperti pelacur itu sama sekali tidak menghormati rakyat dan parti yang memilih.

Rasa berat

Dalam masa sama, beliau sempat berseloroh bahawa sudah letih untuk berceramah pada usia yang semakin meningkat.

“Saya pun pada usia 65 tahun rasa berat turun semula ke gelanggang seperti ini,” luahnya lagi.

Sehari sebelum itu, Mohamad hadir dalam Jelajah Pakatan Harapan Kota Raja di Taman Sri Andalas.

Kerajaan PH tumbang ekoran keputusan Bersatu meninggalkan blok pemerintah itu pada 24 Februari lalu sehari selepas Langkah Sheraton.

Gerakan menumbangkan kerajaan PH itu melibatkan bekas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan disokong Umno, Pas serta sebahagian besar wakil rakyat Bersatu.

Pada tarikh yang sama, Tun Dr Mahathir pula mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri diikuti mengundur diri sebagai Pengerusi Bersatu.

Selepas berlangsung seminggu kemelut politik, Perikatan Nasional yang dianggotai Bersatu, Barisan Nasional (BN), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membentuk kerajaan Pusat.

Ekoran kejatuhan kerajaan PH, pemimpin baki komponen parti iaitu AMANAH, PKR kem Anwar dan DAP dilihat menghidupkan kembali jelajah ceramah menolak kerajaan pintu belakang yang didalangi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Perdana Menteri.