Enam senator kabinet PN angkat sumpah

Majlis angkat sumpah itu dimulakan dengan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Hal Ehwal Agama) dan disusuli oleh lima yang lain.

Enam orang senator mengangkat sumpah di Dewan Negara pagi tadi di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, V S Vigneswaran, susulan pelantikan mereka dalam kabinet, lapor Malaysiakini.

Majlis angkat sumpah itu dimulakan dengan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Agama) dan disusuli oleh lima yang lain.

Mereka merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Kewangan), Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon (timbalan menteri pendidikan I), naib presiden MCA Lim Ban Hong (timbalan menteri perdagangan antarabangsa).

Turut mengangkat sumpah, Setiausaha Eksekutif BN Ahmad Masrizal Muhammad (timbalan menteri alam sekitar), Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (timbalan menteri belia dan sukan).

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan kabinetnya dan buat pertama kali dalam sejarah Malaysia tidak menamakan seorang timbalan perdana menteri tetapi menamakan empat orang menteri kanan untuk membantu beliau menjalankan tugas perdana menteri.

Kabinet Muhyiddin memiliki 32 portfolio dan perdana menteri telah melantik 38 timbalan menteri. Tujuh kementerian mempunyai dua timbalan menteri.