Harap isu politik tak ganggu tugas – Tengku Zafrul

Bercakap kepada pemberita selepas acara angkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara pagi tadi, bekas CEO Kumpulan CIMB itu berkata apa yang perlu difokuskan adalah cabaran ekonomi yang sedang dihadapi negara.

Meskipun bukan berlatar belakangkan seorang ahli politik sebelum ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berharap isu politik tidak menganggu tugasnya di kementerian itu nanti, lapor Malaysiakini.

Bercakap kepada pemberita selepas acara angkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara pagi tadi, bekas CEO Kumpulan CIMB itu berkata apa yang perlu difokuskan adalah cabaran ekonomi yang sedang dihadapi negara.

“Saya harap begitu. Saya rasa apa yang kita perlukan sekarang adalah untuk fokus mengenai cabaran, dengan cabaran yang mendatang.

“Dan saya pasti kamu semua tahu apa cabaran-cabarannya dari segi ekonomi,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian apabila diminta mengulas sama ada beliau mampu mengasingkan politik daripada kementeriannya nanti dan sama ada beliau bebas untuk melakukan tugasnya seperti apa yang sepatutnya dilakukannya.

Pada masa sama, beliau enggan mengulas sama ada negara perlu meneliti semula Belanjawan 2020.

Katanya, beliau akan memulakan tugasnya di Kementerian Kewangan pada jam 4 petang ini selepas selesai majlis mengangkat sumpah di Istana Melawati di Putrajaya.

“Saya rasa benarkan saya mulakan tugas saya dahulu hari ini. Saya akan dapatkan kenyataan ringkas daripada KSP tengah hari ini,” katanya.

Pagi tadi, Tengku Zafrul antara enam senator yang mengangkat sumpah di Dewan Negara sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri V S Vigneswaran, susulan pelantikan mereka menyertai Kabinet.