Wakil kerajaan PN ramai Bumiputera namun tetap inklusif – Saifuddin

Beliau menambah bahawa walaupun parti politik tertentu mendakwa parti mereka berbilang kaum tetapi menurutnya kadang-kadang parti berkenaan mungkin lebih bersifat perkauman daripada parti berasaskan kaum.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) mungkin mempunyai lebih ramai wakil Bumiputera tetapi ia tidak bermakna ia adalah kerajaan untuk orang Melayu dan Muslim sahaja, lapor Malaysiakini.

Dalam temu bual dengan TV1, Saifuddin berkata, mana-mana kerajaan mestilah inklusif.

“Memang diakui jumlah bukan Melayu dan bukan bumiputera tidak sebesar sebelum ini namun tidak bermakna kerajaan ini akan jadi kerajaan Melayu Islam.

“Kerajaan ini tetap kerajaan yang inklusif. Sebagai kerajaan, tiada pilihan, mesti inklusif dan raikan kepelbagaian,” katanya.

Beliau menambah bahawa walaupun parti politik tertentu mendakwa parti mereka berbilang kaum tetapi menurutnya kadang-kadang parti berkenaan mungkin lebih bersifat perkauman daripada parti berasaskan kaum.

Beliau kemudian memberikan contoh parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini membantah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dilantik sebagai menteri kewangan berdasarkan alasan kaum.

“Ada perkara yang sukar diungkapkan. Contohnya, Umno yang dianggap sebagai perkauman telah lama melantik seorang Cina untuk menjadi menteri kewangan.

“Tetapi baru-baru ini, sebagai contoh, apabila Lim dilantik sebagai menteri kewangan, terdapat bantahan pada peringkat awal.

“Sekiranya saya mendedahkan parti mana yang menjadi bantahan, orang akan terkejut,” katanya.

Saifuddin juga ditanya tentang Umno yang terlibat dalam PN, meskipun dilabel sebagai parti “kleptokratik” sebelum ini.

Mengulas perkara itu, Saifuddin mengulangi bahawa semua anggota kabinet telah ditapis oleh SPRM dan polis.

Beliau menegaskan bahawa kabinet baru terdiri daripada individu bersih yang mempunyai integriti.

Saifuddin menambah bahawa beliau sendiri boleh disiasat sekiranya melakukan kesalahan.

Saifuddin merupakan antara kumpulan dari PKR yang diketuai Mohamed Azmin Ali yang meninggalkan PH untuk bersama Bersatu, BN dan PAS membentuk PN.

Kerajaan baru dibentuk berikutan selepas PH tumbang melalui ‘Langkah Sheraton’ yang digerakkan kumpulan Azmin yang seterusnya berjaya mengangkat Muhyiddin sebagai perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad.